KOTA KINABALU – Seramai 1,000 guru baharu telah ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Sabah sepanjang tahun 2025, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Pengerusi SPP, Datuk Adzman Talib, berkata jumlah itu merangkumi 315 guru sekolah rendah dan 685 guru sekolah menengah, selaras dengan keperluan perkhidmatan pendidikan seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau memaklumkan, sehingga 30 Jun 2025, kadar pengisian jawatan guru di Sabah telah mencapai 97.78 peratus, dengan seramai 44,058 guru telah ditempatkan berbanding 45,057 jawatan yang diluluskan di 1,298 buah sekolah.
Walaupun kadar pengisian hampir penuh, Adzman menjelaskan bahawa beberapa sekolah di Sabah masih mengalami kekurangan guru, justeru usaha berterusan sedang dijalankan untuk menutup jurang kekurangan tersebut.
Katanya, antara cabaran utama sektor pendidikan ketika ini ialah peningkatan jumlah guru bersara awal, yang turut menyumbang kepada kekurangan tenaga pengajar di sekolah.
“Pada tahun 2024, seramai 12,607 guru di seluruh negara bersara awal berbanding 13,192 orang pada tahun 2023. Di Sabah sahaja, sebanyak 947 kes dicatatkan pada 2024 berbanding **813 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Tambah beliau, antara punca utama guru meninggalkan profesion lebih awal termasuk beban tugas pentadbiran serta tuntutan digitalisasi yang bertindih. SPP kini bekerjasama dengan KPM bagi merangka penyelesaian menyeluruh demi menjamin kelestarian tenaga pengajar.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, merakamkan penghargaan atas peranan SPP dalam memastikan pelantikan guru berwibawa di negeri ini, selain menyaksikan demonstrasi inovasi pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat tempatan Samasama Works Sdn Bhd.
