KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik menubuhkan pasukan kecemasan khas bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Bingkor, semalam.
Pembantu Menteri Kerja Raya itu berkata, pasukan berkenaan dianggotai seramai 30 orang melibatkan Pejabat ADUN Bingkor, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor, Persatuan Pengerak Masyarakat Keningau dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor.
Katanya, pasukan itu akan diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred bersama Ketua Staf ADUN Bingkor, Diana Basir.
“Hujan lebat telah menyebabkan beberapa kampung dinaiki air sehingga menenggelami rumah, sawah padi dan merosakkan jalan kampung. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Robert turut menzahirkan simpati terhadap nasib penduduk terjejas dan memberi jaminan untuk terus turun padang menyalurkan bantuan sewajarnya.
“Saya sudah mengarahkan semua kakitangan menemui penduduk yang terlibat dan menghulurkan bantuan yang termampu.
“Saya juga telah meminta pihak berkaitan mempercepatkan kerja-kerja membaiki jalan serta tebing sungai yang rosak kerana kemudahan ini amat penting bagi penduduk,” jelasnya.
Beliau menegaskan kebajikan rakyat Bingkor sentiasa menjadi keutamaan dan berusaha memastikan keperluan asas dapat dipulihkan secepat mungkin.
