Skuad Anak Sabah dilancar awal Oktober, sasar 18,000 ahli

KOTA KINABALU: Skuad Anak Sabah bakal dilancarkan secara rasmi awal Oktober ini di Stadium Kompleks Sukan Likas dengan sasaran penyertaan kira-kira 18,000 ahli.

Timbalan Presiden II, Datuk Seri Norhaiza Abu Bakar berkata, majlis pelancaran itu dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurutnya, Skuad Anak Sabah diwujudkan sebagai platform menghimpunkan anak jati negeri itu bagi memperkukuhkan suara rakyat serta menyampaikan kepentingan sosial masyarakat kepada pentadbir negeri dan negara.

“Skuad ini akan menjadi jambatan kerjasama antara generasi muda, belia, dewasa dan warga emas. Ia juga berperanan memperjuangkan kebajikan serta kepentingan masyarakat Sabah menerusi gerakan besar-besaran anak Sabah,” katanya.

Selain itu, skuad tersebut turut beriltizam menganjurkan program kebajikan, amal dan bantuan derma kepada golongan memerlukan, selain memperkasa jaringan kerjasama sosial dalam kalangan masyarakat.

Norhaiza menegaskan, keanggotaan skuad itu akan digerakkan berlandaskan empat teras utama iaitu kebajikan setiap lapisan masyarakat, semangat patriotisme, perpaduan etnik serta pemerkasaan ahli melalui inisiatif kebajikan, pendidikan, keusahawanan dan faedah asas.

“Skuad Anak Sabah juga akan memperkasa tenaga sukarelawan, menyemarakkan semangat patriotisme anak jati Sabah, serta mempromosikan kepelbagaian etnik di negeri ini,” jelasnya.

Beliau optimis skuad itu mampu menjadi titik tolak gerakan kebajikan dan perpaduan masyarakat, sekali gus mengangkat belia serta ahli pertubuhan sebagai aset pembangunan negeri pada masa depan.