Projek Pertanian Logam Ranau Selari Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Dr. Joachim

RANAU: Projek Metal Farming di Kampung Pahu Pinawantai, Ranau, dianggap selari dengan hala tuju pembangunan Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Projek oleh Botanickel Sabah ini memperkenalkan teknologi phytoextraction menggunakan tumbuhan hyperaccumulators tempatan untuk menyerap logam berat dari tanah tidak subur, sekaligus memulihkannya.

Dr. Joachim berkata, inisiatif itu menggabungkan sektor pertanian dan mineral, menjana ekonomi baharu, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan modal insan luar bandar.

“Projek ini menyokong ketiga-tiga teras Hala Tuju SMJ – ekonomi, modal insan dan kelestarian hijau,” katanya semasa majlis menandatangani MoU antara Botanickel Sabah dan beberapa agensi kerajaan negeri.

Beliau menambah, kolaborasi pintar seperti ini membuktikan bahawa penyelidikan saintifik mampu diterjemah kepada manfaat praktikal, mengurangkan penghijrahan belia dan membuka peluang kerjaya baharu.