KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan budaya buli yang kian berleluasa terutama di sekolah perlu dibendung segera kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila perbuatan itu turut berlaku di sekolah agama sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Ini tidak wajar berlaku, malah saya sendiri tertanya-tanya mengapa budaya buli boleh wujud dalam institusi yang membawa lambang kesucian agama Islam. Di manakah salah dan silapnya?” katanya pada satu majlis di sini, hari ini.
Hajiji berkata, konvensyen hal ehwal agama Islam wajar dijadikan wadah untuk menilai kelemahan serta memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah, malah dalam semua organisasi kerajaan atau persendirian.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan berita palsu dan fitnah di media sosial termasuk isu 3R menjelang pilihan raya negeri yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Katanya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat besar, namun jika disalah guna ia boleh menjadi ancaman kepada kestabilan negara.
“Peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah dan pemimpin amat penting sebagai benteng generasi muda. Tugas mendidik anak bangsa adalah fardhu kifayah yang mesti dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
