Kesesakan Jalan Berungis-Tebobon bakal reda, JKR janji tindakan segera

KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Jalan Berungis-Tebobon bakal menikmati kelegaan apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah meneliti cadangan pembinaan pusingan U baharu di kawasan itu.

Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Datuk Mohd. Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, lokasi pusingan U baharu dicadang berhadapan bangunan Telekom Malaysia (TM) bagi memendekkan jarak pusingan yang kini hanya ada di Bandar Sierra.

“Cadangan ini langkah jangka pendek yang baik. Jika dilaksanakan, ia dijangka siap dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya selepas taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08.

Bagi jangka panjang, katanya, laluan utama WP07 dijangka siap hujung tahun ini, manakala WP08 pada 2026. Mulai November, laluan Tebobon hingga persimpangan Norowot yang mempunyai flyover akan dibuka sepenuhnya bagi mengurangkan kesesakan.

Ketua Gagasan Rakyat Sabah Darau, Datuk Mohammed Razali Razi dan Ketua Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris menyambut baik usaha JKR itu dan berjanji menyampaikan perkembangan projek kepada penduduk setempat.