Kes Zara Qairina: Hajiji sambut baik arahan Jabatan Peguam Negara

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara yang telah mengeluarkan arahan lanjut berhubung siasatan kes kematian pelajar, adik Zara Qairina.

Beliau berkata, kes tersebut bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Sabah, malah telah menarik perhatian meluas dari seluruh negara termasuk negara jiran.

“Ini jelas menunjukkan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Hajiji turut menzahirkan keyakinan terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan untuk Zara dan keluarganya.

“Saya menyeru semua pihak agar terus bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, serta memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” jelas Hajiji.

Semalam Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Kes Zara Qairina mendapat perhatian ramai selepas pelbagai pihak menuntut agar keadilan ditegakkan berhubung punca kematiannya yang didakwa berkaitan insiden buli.