TAWAU : Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi memastikan warisan budaya dan seni Sabah terus dipelihara.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha bagi menambah baik pemeliharaan warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di Sabah.
Katanya, beliau yakin Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) akan membawa impak besar terhadap sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sempena festival ini bukan setakat untuk mengenali khazanah budaya kita tetapi turut memberi limpahan rezeki kepada semua yang terlibat secara tidak langsung.
“Ini termasuk usahawan, pengusaha homestay, penggiat seni dan peniaga kecil, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat,” katanya di sini semalam.
Teksnya disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, festival ini juga merupakan satu medium untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga dan menghargai khazanah budaya yang tidak ternilai.
“Kita memaklumkan pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC), dijadualkan siap pada Disember 2027, sudah pasti akan menjadi hab kebudayaan dan pentas utama pertembungan seni serta warisan pelbagai etnik apabila siap kelak.
“Ini sekali gus akan melonjakkan Tawau sebagai pusat kebudayaan antarabangsa yang berdaya saing,” jelas Hajiji.
Seiring dengan tema “Kepelbagaian Budaya: Pahlawan, Kraf Tangan dan Perkahwinan”, FKAT adalah manifestasi keindahan dan keunikan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Ketua Menteri berkata festival ini bukan sahaja menjadi ruang pameran budaya, tetapi juga medan interaksi antara komuniti daripada pelbagai latar belakang, termasuk peserta dari Kazakhstan, Indonesia dan Filipina.
“Ia turut memperkukuh peranan Tawau sebagai bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya dan kerjasama serantau.
“Oleh itu, festival ini menjadi wadah untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum, mempertingkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya serta memupuk rasa hormat dan penghargaan terhadap warisan nenek moyang kita,” katanya.
