KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan banyak isu yang dimainkan pembangkang ketika ini sengaja direkacipta untuk memperdaya rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, pelbagai isu yang disebarkan melalui media sosial ketika ini menjadi antara cabaran besar dihadapi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha mengekalkan kedudukannya pada pilihan raya itu nanti.
Katanya, ia adalah dakyah dan propaganda yang digunakan pembangkang bagi menjejaskan reputasi GRS dengan niat untuk membuatkan rakyat percaya terhadap dakwaan mereka atas kepentingan politik.
“PRN17 membawa 1,001 cabaran kepada kita. Cabaran bukan kerana pembangkang kuat atau kita lemah, tetapi cabaran dalam berhadapan dengan pembohongan, kepalsuan, cerita-cerita rekaan dan paling besar, fitnah.
“Hari ini, media sosial menjadi medium paling popular untuk menyebar dakyah dan propaganda. Saban hari berbagai cerita, klip video dan infografik palsu disebar-luas,” katanya di sini hari ini.
Hajiji merupakan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, inilah kaedah serangan pembangkang terhadap GRS melalui dunia maya yang harus ditangani segera.
“Kita pastikan perangi habis-habisan! Jangan sampai pembohongan, penipuan dan fitnah berleluasa atau menguasai pilihan raya ini, sepertimana yang berlaku pada dua pilihan raya lalu.
“Isu-isu yang dimainkan tidak semuanya benar atau sahih! Banyak yang dibuat-buat dan direkacipta untuk memperdaya rakyat supaya rakyat percaya,” katanya.
Menurutnya, ketegasan Ketua Menteri itu menjawab pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dilempar atau dikaitkan dengan GRS serta pemimpinnya ketika PRN17 kini diambang pintu.
“Perkara seperti itu boleh menimbulkan huru-hara politik yang tidak berkesudahan.
“Menyebar fitnah dan pembohongan adalah mainan politik kotor yang sangat kita kejam,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau mengingatkan agar jentera Gagasan Rakyat jangan terikut-ikut dengan mainan kotor seperti itu.
“Kerana ia bukan sahaja satu kesalahan dan dosa besar tetapi parti yang menang kerana politik kotor.
“Fitnah dan pembohongan, pasti tidak akan bertahan lama, sebab lambat laun perkara sebenar akan terserlah juga,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya, Hajiji menekankan bahawa banyak yang berjaya dicapai GRS sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beramanah dan bekerja keras untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri dan rakyat.
Sepanjang lima tahun memimpin kerajaan, membina GRS dan disusuli pembentukan Gagasan Rakyat, katanya rakyat Sabah kini melihat ‘rumah’ yang dibina atas dasar perjuangan, keikhlasan, cita-cita dan aspirasi mereka sendiri.
Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, walaupun parti pimpinannya itu masih setahun jagung tetapi ia didukung oleh pemimpin yang berpengalaman.
“Pendukung Gagasan Rakyat bukan calang-calang, mereka adalah pejuang yang masak dengan sepak terajang politik, pengalaman mereka bukan kepalang, tenang dan sabar menghadapi cabaran, jatuh bangun, tawa dan duka dalam mempertahankan prinsip dan maruah perjuangan.
“Sebagai ahli politik veteran, kita adalah pembela dan pejuang yang cukup berpengalaman!.
“Perjuangan masa lalu, ditokok tambah lagi dengan perjuangan yang hebat dalam GRS dan Gagasan Rakyat.
“Ia secara tidak langsung membentuk kita menjadi orang politik yang sarat dengan pengalaman, buah fikiran dan ilmu pengetahuan, ilmu berpolitik serta ilmu berkerajaan,” kata Hajiji.
