KOTA KINABALU : Pos Imbangan Tentera Tambulanan serta Pos Ladang Brantian dijangka mampu meningkatkan tahap kawalan keselamatan di sempadan negara selepas ia dijangka beroperasi sepenuhnya tahun ini.
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, selain itu terdapat lagi empat pos keselamatan di kawasan Pulau Sebatik diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, selepas beroperasi sepenuhnya ia mampu menjalin kerjasama kolaborasi keselamatan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) serta pihak agensi keselamatan yang lain.
“Kita menerima satu pos kawalan yang akan diberikan kepada Tentera Darat Malaysia iaitu di kawasan Sungai Kuning, Pulau Sebatik, Tawau.
“Dalam tempoh sama, pada tahun lalu kita menerima satu Pos kawalan di kawasan Mentadak Felda Selatan di Kalabakan berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini hari ini.
Mohd Sofi berkata, pihaknya akan memastikan pos kawalan ini berfungsi untuk mengawal tahap keselamatan disamping memberikan keselesaan kepada anggota yang bertugas.
“Kita yakin tahap kawalan pos keselamatan berada pada tahap yang tertinggi serta tidak mudah dibolosi serta bebas saripada sebarangan ancaman anasir yang tidak diingini.
“Pada masa sama, Tentera Darat akan menggunakan pelbagai teknologi terkini seperti dron dan sistem komunikasi satelit, dalam usaha mengawasi keselamatan negara,” jelas Mohd Sofi.
Menurutnya, setakat ini segala aktiviti penugasan kawalan keselamatan berjalan lancar sekali gus mendapat kerjasama baik dalam kalangan agensi pihak berkuasa awam di Sabah.
“Dalam tempoh sama, kita menerima beberapa projek pembangunan infrastruktur pertahanan sedang giat dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
“Ini termasuk projek pembinaan melibatkan pembinaan baharu atau menaik taraf pos-pos kawalan sedia ada bagi memastikan keselesaan petugas mengawal sempadan,” kata Mohd Sofi.
