KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM11,000 di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek bertindak demikian sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat tersebut yang melakukan kesalahan jalan raya.
Katanya, suspek lelaki berusia 30-an ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun tambah beliau, suspek ditahan selama 24 jam dan dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
