KOTA KINABALU : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukan sejumlah RM63 juta kepada sekolah dikenal pasti rosak akibat dilanda banjir baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, peruntukan itu merupakan komitmen KPM bagi memastikan sekolah terlibat bencana banjir dapat beroperasi semula menjelang hari pertama persekolahan 17 Februari ini.
Katanya, peruntukan itu meliputi kerja-kerja pembersihan sekolah serta membuat perolehan bagi penggantian perabot dan peralatan sekolah dikenal pasti rosak akibat banjir.
“Kita menerima peruntukan ini untuk meliputi semua sekolah terlibat serta berkemungkinan akan berlaku lagi banjir pada masa depan.
“Komitmen Jabatan Pendidikan Sabah memastikan sekolah ini dapat beroperasi sepenuhnya pada hari pertama persekolahan 17 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Raisin berkata, pihaknya menganggarkan lebih 50 sekolah di Sabah dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir yang melanda Sabah baru-baru ini.
“Data diperoleh sejak bencana banjir ini, terdapat 57 sekolah terkesan akibat banjir manakala sehingga semalam, kawasan Beaufort masih mempunyai 14 sekolah masih dilanda banjir.
“Usaha membersihkan kawasan sekolah terjejas banjir sedang giat dilaksanakan bagi memastikan ia beroperasi seperti mengikut jadual menjelang sesi awal persekolahan nanti,” jelas Raisin.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memainkan peranan penting dalam membantu sekolah yang terjejas akibat bencana berkenaan.
“Kerajaan negeri banyak menyalurkan bantuan bersesuaian untuk memastikan sesi persekolahan tidak terjejas,” kata Raisin.
