LABUAN : Projek Wakaf Tunai Khas Surau Al-Kausar bernilai RM547,000 dijangka mampu menampung 200 jemaah sekali gus merupakan Wakaf pertama dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajudin Suhaimee berkata, pembinaan ini merupakan kutipan daripada individu dilaksanakan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Katanya, sehingga hari ini pihak PPZ MAIWP berjaya mengumpul wang wakaf berjumlah RM393,487.55 iaitu melebihi 70 peratus daripada yang diperlukan.
“Setakat ini, kita hanya memerlukan sedikit sahaja lagi untuk memperoleh dana sekali gus menjayakan pembinaan surau ini.
“Secara keseluruhannya, kita yakin dana itu dapat dicapai seterusnya mampu memulakan projek pembinaan surau Al-Kausar pertama di Labuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis Pecah Tanah pembinaan Surau Al-Kausar, di sini kelmarin.
Sirajudin berkata, sebagai rekod kempen kutipan Wakaf Tunai khas pembinaan surau ini dilaksanakan bermula 14 Febuari tahun lalu.
“Kempen Projek Wakaf Tunai Khas Surau Al Kausar dijangka akan berakhir pada penghujung bulan ini.
“Orang ramai ingin bersama-sama menyumbang boleh menghubungi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” jelas Sirajudin.
