KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan masyarakat negara ini terhadap semangat saling menghormati dan menerima perbezaan yang harus menjadi tunjang memungkinkan perpaduan.
Dalam perutusan sempena perayaan Thaipusam hari ini, katanya, keunikan budaya dan amalan berbeza harus diraikan sebagai kekuatan dan bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
Beliau berkata, ciri itu yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan di kesampingkan.
“Walhasil, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan menjunjung prinsip berdamping (coexistence).
“Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk memberi ruang bagi saling mengenali dan berkasih sayang, bukannya menyebar serta memicu kebencian,” katanya pada hantaran akaun laman sosial.
Anwar dalam masa sama turut mengajak semua rakyat untuk bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.
“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” katanya.
