Salleh turun padang tinjau operasi mencari pelajar dikhuatiri lemas di KB

KOTA BELUD : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini turun padang bagi meninjau operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar perempuan yang dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Kedamaian berdekatan Kg Pirasan, dekat sini pada petang Ahad.

Setibanya di tempat kejadian, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah diberi talimat ringkas oleh anggota keselamatan yang bertugas di situ mengenai perkembangan terkini operasi tersebut yang masuk hari kedua hari ini.

Salleh berada di kawasan kejadian bagi meninjau usaha mencari mangsa.

Beliau kemudian bertemu dan memberi sokongan moral kepada anggota keluarga pelajar berkenaan yang turut berada di tepi sungai Kadamaian.

Difahamkan pelajar tingkatan 4 berumur 16 tahun itu dikatakan hilang semasa mandi di sungai tersebut pada kira-kira 3.30 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Antara keluarga mangsa bersama penduduk kampung berada di lokasi kejadian.

Pelajar yang bersekolah di SMK Nabawan 1 itu dikatakan balik kampung dan menziarahi saudara arwah bapa.

Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat itu ialah anggota Pasukan Penyelamat di Air dari Kudat.