LABUAN : Tokong Sin Ong Kong Kampung Sungai Keling menerima sumbangan berjumlah RM100,000 sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina diadakan di Balai Raya Kampung Sungai Keling, di sini kelmarin.
Dana tersebut diperoleh daripada tiga termasuk Ahli Perniagaan terkenaal, Tan Sri Vincent Tan menyumbang RM50,000 manakala Datuk Seri Lee Hock Seng berjumlah RM30,000 serta bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wee RM20,000.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM100,000 disampaikan Majlis Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan, kepada Ketua Kampung Sungai Keling, Goh Siew Ling.
Mohd Rafi berkata, sumbangan itu merupakan adalah hasil perbincangannya bersama Ketua Kampung Sungai Keling baru-baru ini.
“Ia bertujuan membantu untuk mendapatkan dana bagi menyiapkan tokong tersebut.
“Usaha memperoleh dana ini adalah apabila saya bertemu dengan ketiga-tiga mereka kemudiannya bersetuju untuk menyalurkan sumbangan menyiapkan tokong ini,” katanya.
Mohd Rafi berkata, usaha yang dilakukan atas dasar semangat perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum sudah lama terjalin di pulau ini.
“Semoga usaha ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kaum dan agama, serta menjadi simbol kekuatan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita,” kata Mohd Rafi.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Tokong Sin Ong Kong, Tan Kok Koon.
