KOTA KINABALU : Kepelbagaian bangsa serta anutan agama tidak memisahkan antara hubungan malah membantu membina sebuah masyarakat harmoni di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini merupakan kekuatan Sabah terletak dengan kepelbagaian bangsa, agama, tradisi, etnik dan bahasa.
Beliau mengajak untuk merapatkan barisan ke arah lebih maju serta progresif sekali gus mempertahankan hubungan persaudaraan di Sabah.
“Tahun 2025 merupakan penggal terakhir bagi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 iaitu untuk tempoh 2021-2025.
“Sekiranya diberi mandat sekali lagi, kita akan teruskan dengan halatuju SMJ 2.0 dari tahun 2026 hingga 2030,” katanya dalam Perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2025, di sini, semalam.
Hajiji berkata, memang tidak dinafikan Hala Tuju SMJ berjaya merubah serta memperbaiki prestasi ekonomi Sabah.
“Ini selepas merundum akibat penularan pandemik COVID-19. Kita mengucapkan terima kasih atas sokongan masyarakat Tiong Hua diberikan dalam untuk membangunkan negeri ini.
“Selaku Ketua Menteri, saya memberi jaminan bahawa kesejahteraan rakyat, termasuk masyarakat Tionghua akan terus diberi keutamaan,” jelas Hajiji.
Menurutnya, semoga tahun ini membawa sinar harapan, kekuatan, kebahagiaan serta Kesihatan yang baik di samping menikmati lebih kemakmuran.
“Kita bersyukur kerana rakyat berketurunan Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada tahun ini, iaitu Tahun Ular.
“Lebih menarik lagi apabila ia diraikan dalam suasana aman, harmoni dan penuh kegembiraan,” kata Hajiji.
Beliau mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Tionghua dan yang meraikannya di negeri ini.
