Empangan Air Cinta Mata mampu atasi masalah air di Tawau – Shahelmey

TAWAU : Pembinaan Empangan Air Cinta Mata dijangka mampu mengatasi masalah bekalan air kini dialami penduduk di kawasan Tawau.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, berkata empangan ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026 sekali gus dapat membekalkan air secukupnya dalam tempoh jangka masa panjang.

Katanya, masalah air dialami penduduk disebabkan pelbagai punca termasuk sumber bekalan air semakin kecil berbanding permintaan yang sangat tinggi.

“Ketika ini, kita sedang membina empangan di Tawau dijangka siap menjelang tahun 2026.

“Selepas siap nanti, empangan ini boleh membekalkan jumlah bekalan air mentah untuk dirawat adalah mencukupi untuk kegunaan jangka masa panjang,” katanya.

Shahelmey berkata, beberapa paip dikenal pasti bocor termasuk pam lama dalam proses penggantian sebagai langkah memberi lebih efisien kerja-kerja di loji rawatan air.

“Tahun lalu, kita melatih beberapa panel kontraktor bagi membaiki kerosakan paip serta peralatan rosak bagi memastikan pengguna dapat memperoleh bekalan air mencukupi.

“Kita memantau kes kecurian atas sambungan haram terhadap sistem agihan ini….Ini sudah tentu merupakan perancangan jabatan program mengurangkan kadar air yang tidak berhasil sedang berjalan,” jelas Shahelmey.

Menurutnya, jangka masa pendek pihaknya membuat pemotongan terhadap penyambungan paip haram di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Kita juga sedang mengagihkan bekalan air melalui lori tangki yang sedang disediakan Jabatan Air Negeri Sabah.

“Kerajaan kini menyenaraikan keperluan perolehan pembelian lori tangki yang baru, sebagai usaha menampung keperluan pengagihan bekalan air di kawasan terjejas,” kata Shahelmey.