KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus meningkatkan lagi kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk manfaat bersama khususnya rakyat daripada kedua-dua negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata hubungan antara kedua-dua negara khususnya dengan Sabah adalah baik dan banyak manfaat telah diperoleh bersama.
Beliau berkata, Sabah berharap dapat bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk membawa hubungan Sabah-China ke satu tahap lagi, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Kita juga berkongsi kegembiraan dan harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, dengan iltizam untuk terus meningkatkan hubungan baik antara Sabah dan China.
“China sentiasa menjadi jiran dan rakan yang terbaik. Hubungan antara kedua-dua negara adalah baik dan kita saling mendapat manfaat antara satu sama lain,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, menerusi ini beliau mengajak semua agar meneruskan sinergi ini sekali gus memanfaatkan kerjasama ini dalam pelbagai bidang.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan memajukan agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Di Malaysia dan di Sabah khususnya, kita berasa bangga kerana perayaan Tahun Baharu Cina bukan saja disambut oleh masyarakat Cina.
“Tetapi ia juga rakyat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini turut sama-sama meraikannya,” jelas Hajiji.
