KENINGAU : Budaya berpolitik Semenanjung tidak diperlukan di Sabah sehingga mengelar pemimpin serta orang Sabah ‘Palui’ untuk meraih sokongan mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sikap pemimpin pembangkang berasal dari Semenanjung sangat keterlaluan sehingga tidak boleh diterima masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Katanya, perbuatan itu merupakan satu penghinaan kerana pemimpin serta rakyat Sabah berpegang kepada amalan berpolitik secara sopan dan mementingkan keharmonian.
“Rakyat Sabah tidak memerlukan pemimpin seumpama ini sehingga dilihat menghina orang Sabah sekali gus sanggup mengeluarkan kata-kata kesat.
“Walaupun kita meraikan demokrasi, tapi budaya orang Sabah lain dengan sebelah sana (Semenanjung). Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau, di sini hari ini.
Hajiji merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pemimpin yang bersikap seperti itu tidak wajar datang ke Sabah kerana budaya berpolitik di Semenanjung tidak sesuai dengan budaya politik yang diamalkan di negeri ini.
“Banyak pemimpin dari seberang datang, saya beritahu mereka, kalau datang mesti sopan santun…Jangan bawa perangai dari sana ke Sabah.
“Kerana itulah saya ingin merayu kepada rakyat kita berbilang kaum dan kepercayaan ini, marilah kita bersatu hati dan sokonglah GRS yang terdiri daripada parti tempatan kita,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau yakin gabungan itu mampu memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang tidak lama lagi kerana menyifatkan lapan parti tempatan bersama GRS cukup mantap untuk berdepan saingan lawan.
“Kalau lapan parti sudah bergabung ini, saya tidak percaya kita boleh kalah pada PRN nanti, tidak mungkin. Dengan kejayaan dan pencapaian kita empat tahun ini tidak mungkin kita gagal pada PRN ini.
“Apa yang penting kita bersatu hati, walaupun berlainan pandangan, kita raikan, kita hormati. Tapi bila buat keputusan, kita satu hati kerana itulah yang akan membawa kejayaan kepada kita pada PRN akan datang,” kata Hajiji.
Beliau mengingatkan agar rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan di media sosial mengenai pelbagai dakwaan buruk terhadap GRS dan kerajaan negeri sekarang.
“GRS mempunyai rekod pentadbiran yang baik berdasarkan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang lebih empat tahun memerintah.
“Wajar diberi mandat semula bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancang menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030,” tambahnya.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi membina sebuah Mini Konvensyen Centre di Keningau untuk kemudahan rakyat di daerah ini serta kawasan pedalaman.
