TAWAU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung menjadi deposit tetap menjelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini berdasarkan sokongan padu daripada rakyat terhadap parti di peringkat akar umbi.
Katanya, sehingga kini jumlah keahlian Gagasan Rakyat di DUN Balung mencatat lebih 7,500 orang serta mempunyai 126 cawangan.
“Kita semua maklum parti ini baharu ditubuhkan, tetapi kemasukan ahli baharu di Gagasan Rakyat semakin bertambah…Difahamkan masih banyak lagi cawangan bakal ditubuhkan di DUN Balung.
“Pencapaian ini sudah pasti menjadikan DUN Balung mampu menjadi ‘Fixed Deposit’ kepada Gagasan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Balung, di sini semalam.
Nizam merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, DUN Balung akan mudah ditawan pada PRN akan datang memandangkan pencapaian kerajaan negeri membela nasib rakyat sudah terbukti dan ramai sudah terkeluar daripada garis kemiskinan.
“Kita yakin kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus akan diteruskan pada PRN depan, sekali gus kerajaan negeri hari ini kekal sebagai pemerintah di Sabah,” jelas Nizam.
