Sabah punyai 28 orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan

KOTA KINABALU: Seramai 28 Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) berkhidmat  24 hospital merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi, di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit memerlukan intervensi lanjut ke arah mencapai kefungsian sosial yang optimum.

Katanya, Sabah merupakan sebuah negeri besar sehingga kebolehcapaian kepada perkhidmatan kesihatan di pedalaman sudah tentu menghadapi  halangan disebabkan faktor geografi dan kemudahan pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga.

“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi keperluan rawatan, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi.

“Kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya.

Teksnya dibacakan Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun.

Hajiji berkata, ekoran terkesan dari segi ekonomi, didapati jumlah pesakit mendapatkan rawatan di hospital kerajaan meningkat sekali gus menambah cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan berkesan secara menyeluruh.

“Perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar dengan aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat.

“PKSP memainkan peranan membina jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta menyediakan sumber bantuan bagi membantu pesakit miskin dan tidak berkemampuan semasa menerima rawatan atau pemulihan,” jelas Hajiji.