TAWAU : Dua lelaki tempatan dipercayai terlibat kes menyimbah cat merah untuk mengugut peminjam wang membayar hutang dalam kejadian di Batu 6, Jalan Apas, Tawau, di sini pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kedua-dua lelaki tersebut berumur 29 dan 31 tahun ditahan di sekitar kawasan Felda Umas, Kalabakan, kira-kira jam 10.00 malam.
Katanya, pihak polis menerima satu laporan seorang lelaki berusia 27 tahun mendakwa pintu bersama dinding rumahnya disimbah cat merah oleh seorang individu tidak dikenali.
“Individu terbabit meninggalkan satu pesanan pada sehelai kertas dengan menulis nombor telefon, nama serta nombor kad pengenalan mangsa untuk menyelesaikan hutang.
“Suspek meninggalkan pesanan suara berbentuk ugutan untuk membakar kereta pengadu serta keluarganya sekali gus mengugut mengetahui segala kedudukan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
“Polis menemukan satu bekas botol kosong terdapat kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ bersama pen merah disimpan di dalam but belakang kereta suspek.
“Siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan pemberi pinjaman wang online (Ah Long) mahu menuntut hutang daripada mangsa dengan mengupah suspek untuk melakukan jenayah ini,” jelas Jasmin.
Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati salah seorang suspek berumur 29 tahun ini mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah berlaku di daerah Kinabatangan, Sabah.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Ogos dan kes disiasat mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951,” kata Jasmin.
