Tiga lelaki ditahan disyaki rogol remaja 15 tahun di Tawau

TAWAU : Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun keluar rumah dan tidak pulang, di Jalan Utara, di sini, pada 18 Ogos lalu.

Katanya, siasatan mendapati remaja perempuan terbabit keluar rumah sejak 23 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut laporan orang hilang.

“Kira-kira jam 1 pagi, semalam, remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan selamat di Jalan Tengku Osman, di sini.

“Ketika berada di Balai Polis Tawau, pada 3 pagi, remaja terbabit memaklumkan bahawa dia dirogol oleh tiga lelaki yang dikenalinya. Laporan polis dibuat dan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, tiga lelaki tempatan berusia 15 hingga 29 tahun ditahan di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.

“Semua suspek kini ditahan direman bermula hari ini sehingga 4 September depan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat,” jelas Jasmin.