Gereja, dewan dan kuartes musnah dalam kebakaran di Nabawan

NABAWAN : Sebuah gereja, dewan serta kuarters musnah dalam satu kebakaran di Lorong Kampung Enam, Nabawan, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kebakaran tersebut turut membabitkan satu blok bangunan menempatkan gereja, dewan serta kuarters penginapan jenis separuh kekal berkeluasan 260 x 100 kaki persegi terbakar 80 peratus.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Rudy Mekii bergegas ke lokasi kejadian.

“Pihaknya bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.50 pagi.

“Balai Bantuan Bomba dan Penyelamat Sook turut membantu memadam kebakaran dengan kekuatan seramai enam anggota diketuai Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Shmri Sapin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat manakala operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki satu Control Dividing Breaching dua pancutan sumber air dari jentera bomba.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 10.50 pagi tadi manakala selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.28 tenghari tadi.