TAWAU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bernilai RM200,000.
Ini bagi tujuan mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih serta penyelenggaraan dua sekolah di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Tawau.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.
“Suspek disyaki menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dua buah sekolah di negeri tersebut di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PPE),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, Sabah, esok.