KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan berjumlah RM474.55 juta bagi memperkasa serta meningkatkan kecemerlangan tahap mutu pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ke arah itu, sebuah Portal Tajaan Pendidikan Sabah dilancarkan bagi menggabungkan semua penaja utama dalam sektor pendidikan di Sabah.
Katanya, ini merupakan inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sekali gus memperkasakan bantuan kepada pelajar Sabah melanjutkan pengajian melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dalam menyalurkan bantuan pendidikan.
“Kita mahu Jabatan Pendidikan Negeri membantu memperluaskan mengenai permakluman portal ini agar membolehkan lebih ramai anak Sabah berpeluang memohon sekali gus menerima manfaatnya.
“Kita terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan agar lebih ramai anak Sabah dapat melanjutkan pendidikan mereka hingga ke tahap tertinggi selain dapatmengikuti kursus kemahiran yang diperlukan bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha JPN menjayakan hasrat dalam sembilan Fokus Lanskap Pendidikan terkandung dalam hala tuju pencapaian digariskan bermula tahun 2024 hingga 2025.
“Ini termasuklah deklarasi diterjemahkan melalui Lanskap Pendidikan iaitu menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 1.0 menggariskan pembangunan modal insan antara objektif utama.
“Kita mengharapkan kecemerlangan dikecapi dijadikan amalan berterusan serta menjadi contoh teladan kepada semua rakan warga Jabatan Pendidikan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang di Sabah,” jelas Hajiji.
Menurutnya, pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan kecemerlangan serta menjadi sebagai acuan kecemerlangan ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.
Hasir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd.Arif, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.
