KOTA KINABALU : Seorang kanak-kanak perempuan terselamat apabila tangannya tersepit di tangga bergerak (Eskalator) di sebuah pasaraya di Likas di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Sabah berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas (L-KEY) bagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan tangan kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan.
Katanya, mangsa diberikan rawatan awal pasukan EMRS Bomba kemudiannya di hantar Hospital Queen Elizabeth 2 untuk menerima rawatan lanjut.
“Bomba bersama kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas diketuai Komander Operasi, Mohd Faizal Alias menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 malam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut jurucakap tersebut, selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 8.10 malam tadi.
