Ungkapan PBRS ‘Parti Nyamuk’ tunjukan sikap tidak profesional Jordan Jude Ellron

KENINGAU : Kenyataan ‘Parti Nyamuk’ dikeluarkan Ketua Star Bahagian Nabawan, Jordan Jude Ellron dilihat sebagai satu penghinaan kepada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Setiausaha Pemuda PBRS Pusat negeri Sabah Abdul Rahman Shah Naan berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada pemilihan Mesyuarat Agung Tri Tahunan StarSabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan apabila Jordan Jude gagal menunjukkan sikap  profesionalnya sekali gus dianggap tidak matang.

Katanya, Jordan terlalu tergopoh-gopoh sehingga gagal mengawal emosinya serta disifatkan sangat teruja terhadap kedudukannya menjadi Ketua Bahagian paling muda dalam parti pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan itu.

“Dia (Jordan) lupa karier politik Datuk Ellron Alfred Angin bermula apabila mendiang Tan Sri Joseph kurup menyerahkan kerusi DUN Sook kepada ayahnya.

“Selaku wakil Pemuda serta semua ahli PBRS sangat tidak bersetuju atas ucapan tersebut. Sudah pasti bila tiba masanya rakyat sendiri akan dapat menilai sekali gus menghukumnya nanti.

“Walaupun PBRS memiliki satu kerusi Parlimen Pensiangan, namun  ternyata banyak sumbangan dinikmati rakyat sepanjang perkhidmatan Tan Sri Joseph Kurup sehinggalah kini diambil alih Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Presiden PBRS yang baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman berkata, adalah tidak mustahil PBRS mampu memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan segala-galanya terletak kepada kebijaksanaan pengundi terutama di Parlimen Pensiangan.

“Jika sebut satu persatu tentang asal usul bermulanya karier politik keluarga beliau bersama PBRS , rasanya hanya sekadar membuang masa kerana rakyat sangat mengenali secara keseluruhan perjalanan politik mereka.

“Tanpa PBRS karier politik keluarga Jordan Jude tidak akan sampai pada tahap yang mereka nikmati pada masa kini….Adalah lebih baik mereka menghormati diantara satu sama lain,” jelas Abdul Rahman.

Menurutnya,selaku Exco Wiramuda StarSabah Jordan Jude sepatutnya lebih matang dalam menguruskan hubungan baik antara rakan-rakan politik.

“Di peringkat Nasional PBRS merupakan dalam satu gabungan iaitu Kerajaan Perpaduan…Tidak terbentuk kerajaan sekiranya Parti StarSabah dan PBRS tidak menganggotainya.

“Kita berharap selepas ini Jordan Jude Ellron dapat berhemah dalam mengeluarkan setiap tutur katanya…Sekiranya bersaing antara satu sama lain perlulah bersaing cara yang sihat serta profesional.

“Beliau perlu berhati-hati kerana rakyat akan menilai ciri-ciri pemimpin matang lebih-lebih bila menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” kata Abdul Rahman.