KOTA KINABALU: Seramai 121,897 pelajar menerima manfaat Biasiswa, Dermasiswa Menengah dan Dermasiswa Pengajian Tinggi serta Pinjaman Pengajian Tinggi sejak diperkenalkan 1967 sehingga Jun tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keseluruhan insiatif bantuan pendidikan pendidikan ini mengkhususkan kepada anak-anak Sabah melalui inisiatif Kumpulan Yayasan Sabah (YS) melibatkan perbelanjaan secara keseluruhannya berjumlah RM868,324,000.
Katanya, tahun ini YS menaja biasiswa melibatkan seramai 1,179 pelajar dengan peruntukan berjumlah RM15,271,000 serta Bantuan Pinjaman kepada 675 pelajar membabitkan peruntukan RM12,055.000.
“Tahun lalu, kerajaan menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta membabitkan jumlah tajaan yang aktif tahun ini seramai 7,275 pelajar di dalam dan luar negara.
“Penambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah kurang berkemampuan bagi memberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu di sini hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sehingga kini membabitkan jumlah sumbangan dana terkumpul sebanyak RM55,700,000.
“Seramai 5,040 orang pelajar memperoleh manfaat bantuan ini dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM5,167,000. Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkasa TPNS bagi membantu lebih ramai pelajar yang menghadapi masalah tajaan pendidikan.
“Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) komited terhadap kebajikan anak-anak Sabah melanjutkan pengajian dengan memberikan bantuan pendidikan yuran pendaftaran, bantuan tiket penerbangan secara one-off serta dermasiswa khususnya kursus pengajian Islam,”jelas Hajiji.
Menurutnya, kerajaan negeri melancarkan pelbagai inisiatif di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) membabitkan 10 jenis bantuan dalam pelbagai aspek.
“Antaranya memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah (SubFly) berjumlah RM600.00 kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan mebabitkan peruntukan sebanyak RM 10 juta.
“Kerajaan menerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah memberikan bantuan kewangan awal pendidikan kepada pelajar di peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah sarjana muda di universiti awam, universiti swasta dan politeknik untuk semua bidang pengajian,” kata Hajiji.
Sejak tahun 2020 hingga kini menurut Hajiji, seramai 1,160 pelajar telah menerima manfaat bantuan secara one-off itu melibatkan peruntukan sebanyak RM452,250.
