TAWAU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan mengemukakan tuntutan saman terhadap Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Kalabakan, Saharuddin Salleh berkata, tindakan itu dibuat selepas tempoh tujuh hari yang diberikan untuk PPN Sabah memohon maaf secara terbuka sudah tamat.
Katanya, sehingga hari ini (1 Julai 2024) PPK Kalabakan tidak menerima sebarang makluman dan kenyataan permohonan maaf secara terbuka daripada Pengerusi ataupun AJP PPN Sabah.
“Tempoh tujuh hari bermula 23 Jun lepas yang diberikan telah tamat dan PPK Kalabakan beranggapan pengerusi dan AJP PPN Sabah tidak berniat menyelesaikan pertuduhan itu secara baik.
“Pengerusi dan AJP PPN Sabah dilihat masih prejudis bahawa PPK Kalabakan telah melakukan penyelewengan wang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media mereka pada 20 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Justeru, katanya, pengerusi dan AJP PPK Kalabakan telah mengarahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan saman fitnah berkenaan.
“Kita akan meneruskan saman terhadap pengerusi dan AJP PPN Sabah serta mengekalkan saman sebanyak RM15 juta di atas justifikasi yang diberikan.
“Sebarang rundingan yang dikemukakan oleh pihak PPN Sabah selepas ini hanya diterima melalui peguam yang telah dilantik oleh PPK Kalabakan,” katanya.
Saharuddin berkata, tindakan saman ini diharapkan menjadi satu pengajaran kepada pihak berkenaan pada masa akan datang supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh pihak lain khususnya PPK Kalabakan.
“PPK Kalabakan akan terus fokus membangunkan masyarakat peladang di daerah Kalabakan terutamanya kepada ahli-ahlinya yang berdaftar seramai 4,272 orang seiring objektif penubuhannya,” katanya.