KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat 464 orang setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah ini meningkat sedikit berbanding 450 mangsa pada jam 4 awal tadi membabitkan mangsa dipindahkan di empat PPS yang dibuka iaitu di Penampang, Putatan, Tuaran dan daerah kecil Tamparuli.
Katanya, peningkatan itu membabitkan mangsa dipindahkan ke PPS di daerah Penampang dilihat meningkat bertambah kepada 279 mangsa.
“Sehingga awal pagi tadi, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang itu ialah seramai 261 orang.
“Di Putatan jumlah mangsa dipindahkan di PPS Dewan Sri Putatan menunjukkan penurunan kepada 138 mangsa pada jam 8 pagi ini, berbanding 142 mangsa pada jam 4 subuh tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, di Tuaran jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tutu Selupoh kekal 29 mangsa daripada lapan keluarga sejak petang semalam.
Begitu juga jumlah mangsa banjir dipindahkan di PPS Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli, kekal seramai 18 orang daripada lima keluarga.
Banjir mula melanda beberapa daerah di pantai barat Sabah, termasuk kawasan ibu negeri pada petang Ahad lalu berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan air beberapa sungai melimpah.
