10 sekolah ditutup, 5,077 pelajar terjejas akibat banjir di Sabah

KOTA KINABALU : Sebanyak 10 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah terpaksa ditutup akibat banjir yang melanda di beberapa  daerah sejak petang semalam di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, antara sekolah terlibat di daerah Penampang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sugut; SK St Theresa Inobong; SK Kibabaig; SK St Joseph; Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Yue Min dan Sekolah Menengah (SM) St Micheal.

Katanya, di Papar, sebuah sekolah ditutup iaitu di SK Kelatuan dan Sipitang melibatkan SJKC Sin Boon Sindumin.

“Di Tuaran, membabitkan dua sekolah di tutup iaitu di SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa Tenghilan.

“Setakat ini jumlah pelajar terlibat dalam penutupan sekolah tersebut  membabitkan seramai 5,077 murid manakala 307 orang guru setakat jam 8 pagi tadi,” katanya dalam kenyatan media hari ini.

Raisin berkata, Antara daerah terlibat setakat ini adalah di Penampang; Papar; Sipitang dan Tuaran.

“Semua sekolah yang ditutup adalah disebabkan paras air banjir semakin naik selain belum surut serta beberapa laluan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” jelas Raisin