TONGOD : Selepas kejayaan membangunkan kilang simen dan perusahan kinzir, daerah Tongod merancang memiliki mercu tanda baharu untuk memajukan jelapang padi bukit yang pertama di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Begeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Tongod memiliki daerah terbesar di Sabah membabitkan keluasan 10.054 kilometer persegi mengatasi negeri Kedah, akan mampu merealisasikan projek tersebut jika kerajaan Sabah bersetuju mengenai cadangan itu.
Katanya, setakat ini hampir 4,000 ekar tersedia hasil kolaborasi petani tempatan serta memerlukan tambahan sekitar 20,000 ekar untuk meletakkan Tongod sebagai pengeluar padi terbesar di Sabah.
“Jika ada bantuan dan sokongan bersapadu melalui pelbagai agensi kerajaan, daerah Tongod mampu pergi jauh ke hadapan dalam industri makanan berasaskan padi bukit.
“Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengesa Jabatan Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFI) supaya mengambil inisatif tuntas meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan padi,’ katanya di sini semalam.
Masiung merupakan Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, kabinet negeri juga bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi memacu usaha itu.
“Pada masa ini bekalan beras tempatan Sabah amat rendah cuma 22.8 peratus menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap beras import.
”Dalam masa terdekat ini saya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuk MAFI, LPBS, Jabatan Pertanian untuk menjalankan kajian secepat mungkin menganai cadangan ini.
”Banyak lagi tanah bergeran milik penduduk yang tidak diusahakan kerana mereka cuma menanam padi bukit secara tradisi dan kurang berkemampuan untuk menanam lebih luas kerana kurang mendapat bantuan kerajaan, ” jelas Masiung.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk mejayakan projek padi bukit bagi menampung keterjaminan makanan berasaskan beras keluaran tempatan.