Taman Bandukan Riverside Resort Keningau terima Anugerah Pengiktirafan Asia

KUALA LUMPUR : Pusat pelancongan tempatan Sabah-Taman Bandukan Riverside Resort (TBRR) Keningau merai pengiktirafan sebagai penerima anugerah Asia Honesty Awards (AHA) dalam kategori Asia Honesty Enterprise Awards 2023, pada Jumaat lepas.

Pengarah Pengurusan TBRR Rafie Robert mewakili organisasi itu menerima anugerah berprestij itu pada majlis penyampaian AHA ke-11 yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Asia Honesty Award merupakan anugerah yang mengiktiraf pencapaian luar biasa bagi perniagaan, organisasi serta individu. Ia bertujuan mengenalpasti integriti dalam sesebuah organisasi seluruh Asia.

AHA merupakan salah satu daripada empat majlis penganugerahan bertaraf antarabangsa dibawah salah sebuah persatuan usahawan terbesar di Asia iaitu Asia Excellence Entrepreneur Federation (AEEF) yang diasaskan oleh Prof. Datuk Seri Paduka Dr. Robin Tan yang juga Presiden HWT Group Berhad.

Setiap tahun, AEEF menerima lebih daripada 1,000 pencalonan yang terdiri daripada usahawan dan perusahaan Asia bagi penganugerahan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami menyampaikan anugerah pengiktirafan itu kepada seramai 61 usahawan dan perusahaan yang terpilih.

Beliau mengucapkan tahniah kepada usahawan dan perusahaan yang menerima anugerah pengiktirafan AHA kali ini dan berharap mereka akan terus meninjukkan prestasi yang cemerlang di masa akan datang.

Sementara itu Rafie Robert berkata, penganugerahan kali ini akan menjadi titik permulaan untuk terus memajukan dan mengembangkan TBRR kearah yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Kita sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan dan kejujuran dalam menjalankan perniagaan. Anugerah ini mengiktitaf TBRR sebagai organisasi perniagaan yang jujur dan berintegriti dalam kalangan komuniti perniagaan Asia,” kata Rafie.