TAWAU : Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian sebuah motosikal kurang daripada 24 jam selepas kenderaan itu dicuri dalam kejadian di sekitar Bandar Tawau, Khamis lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, seorang lelaki berusia 37 tahun itu, gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan di belakang parkir kereta pasaraya Gmart Muhibahraya Jalan Kuhara, Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang mangsa bahawa motosikalnya dilarikan individu tidak dikenali dalam kejadian pada hari yang sama.
“Mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada jam 6 pagi ketika hendak keluar rumah mahu ke kedai mendapati motorsikal miliknya yang diletakkan di tepi rumah telah tiada dan disyaki telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali.
Menurutnya, bertindak atas maklumat Ops Kesan yang dijalankan pihak polis berjaya mengesan suspek sebelum serbuan dilakukan di kawasan parkir pasaraya Gmart Muhibahraya, Jalan Kuhara.
“Semasa proses penahanan sedang di lakukan suspek cuba melarikan diri dengan bertindak agresif, pihak Polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minima bagi menjayakan tangkapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek, pihak Polis telah menjumpai sebatang anak kunci motosikal yang menyerupai kunci motorsikal tersebut di dalam poket seluar suspek.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati motorsikal tersebut telah dilaporkan hilang melalui laporan Polis yang telah dibuat mangsa.
Katanya suspek dan barang kes tersebut dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.