SHAH ALAM: Management And Science University (MSU) mencatatkan rekod 98.7 peratus graduannya memperoleh peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, ini berdasarkan permintaan besar dalam kalangan lebih 2,000 syarikat dalam serta luar negara untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduasi MSU di negara ini.
Katanya, MSU menyasarkan akan meningkatkan kerjasama membabitkan 65 negara bagi memastikan graduan MSU memperoleh pekerjaan di luar negara.
“Sehingga kini terdapat 65 pelajar dari pelbagai negara sedang belajar di MSU Shah Alam.
“Kita mencatatkan rekod baik dalam ranking 10 universiti terbaik di Malaysia sekali gus menggalakan pelajar terus meningkatkan kualiti pembelajaran mereka.
“Pengurusan MSU mempastikan standard serta kualiti diperlukan majikan sentiasa dipatuhi bagi memastikan graduan MSU pilihan utama majikan selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Graduasi Kumpulan MSU Kolej Kali Ke-24 di Shah Alam Selangor, hari ini.
Mohd Shukri berkata, sehingga kini dianggarkan lebih 20,000 pelajar belajar di MSU Shah Alam manakala terdapat 11 lagi MSU Kolej di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Buat pertama kalinya, Majlis Graduasi Kolej MSU serentak bersama bagi menunjukkan komitmen dalam usaha untuk memperkasakan MSU Kolej di seluruh negara.
“Hari ini kita bangga kerana adanya pelajar MSU Kolej bergraduasi berasal dari negeri Sabah dan Sarawak dengan kepelbagaian suku kaum serta budaya.
“Ini menunjukkan MSU mengutamakan pendidikan kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa, agama serta warna kulit,” katanya.
Dalam majlis graduasi hari ini seramai 1,232 pelajar akan menerima sijil serta diploma dalam pelbagai bidang disampaikan Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.