6 belia terlibat insiden kereta api terima motosikal baharu

TENOM: Enam belia yang terlibat dalam insiden kereta api di laluan Tenom–Pangi menerima motosikal baharu selepas motosikal mereka remuk dalam kejadian itu.

Sumbangan enam motosikal berkenaan disampaikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Jamawi berkata bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesukaran yang dihadapi masyarakat pedalaman.

Menurutnya, laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas ketika musim hujan sehingga memaksa penduduk berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke pekan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Sabah mempercepatkan projek pembinaan jalan Tenom–Pangi sepanjang kira-kira 9.2 kilometer.

Katanya, projek itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan.