Kerosakan Klinik Kesihatan Tangkarason akibat banjir akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan

PAITAN: Kerajaan Sabah akan membawa isu kerosakan Klinik Kesihatan Tangkarason akibat banjir baru-baru ini ke perhatian pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurutnya, kemudahan kesihatan di kawasan pedalaman perlu diberi perhatian agar masyarakat setempat terus mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Dalam lawatan kerja ke klinik itu, Julita turut menyampaikan sumbangan berupa pek makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Beluran, Dr Nafsah Dulajis.

Beliau turut memuji komitmen petugas kesihatan yang terus menjalankan tugas walaupun laluan ke klinik berkenaan terjejas akibat banjir.