30 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Sebanyak 30 buah rumah perkampungan atas air musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Sri Aman, Jalan Apas, lewat malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.23 malam, sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

Kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal berstruktur kayu dan papan, dengan anggaran keluasan keseluruhan terbakar 262 x 229 kaki persegi.

Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 12.44 tengah malam, manakala operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 3.10 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman melibatkan 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dan Kunak, dibantu Bomba Komuniti Kampung Titingan, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba serta air laut.

JBPM memaklumkan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran dan menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah.

Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air bagi membantu operasi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.