SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai cuba menyeludup keluar barang kawalan tanpa kebenaran di perairan Sandakan, semalam.
Bot yang dinaiki suspek berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan kira-kira 0.8 batu nautika barat Tanjung Niug oleh pasukan Maritim Malaysia Zon Sandakan.
Pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 2,520 liter minyak petrol dan 510 kilogram minyak masak tanpa dokumen sah.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai melakukan beberapa kesalahan termasuk melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta menggunakan dokumen bot yang meragukan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM53,000.
Kesemua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia berkata rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara.
