2,500 sertai perbarisan TYT Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 2,500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 30 Mac ini.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Shamshor Jaafar, berkata seramai 62 kontinjen daripada pasukan keselamatan dan agensi kerajaan akan terlibat dalam perbarisan berkenaan.

Katanya, orang ramai digalakkan hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan selain berpeluang menyaksikan keseluruhan istiadat yang dijadual bermula pada sebelah pagi.

“Peserta dijangka mula berkumpul seawal jam 6.30 pagi. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara ini dan menyaksikan keunikan istiadat perbarisan yang diadakan,” katanya selepas sesi taklimat perbarisan kepada Tun Musa Aman, hari ini.

Menurut beliau, raptai penuh akan diadakan pada 27 Mac sebagai persiapan akhir sebelum sambutan rasmi berlangsung.

Dalam pada itu, beberapa laluan utama di sekitar lokasi acara akan ditutup sementara termasuk Lorong Dewan dan Jalan Padang dari gerbang Jalan Istana hingga ke hadapan King Park Hotel.