KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 hektar kawasan sawah padi terbiar di negeri ini dapat diusahakan semula dalam tempoh lima tahun.
Menurut beliau, langkah itu dilihat penting untuk meningkatkan tahap Sara Diri Beras Tempatan Sabah (SSL) kepada 30%, berbanding 19% ketika ini.
Jamawi berkata, sasaran itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan Persekutuan agar segala usaha dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
“Buat masa ini SSL hanyalah 19 peratus. Kita mahu melonjakkan angka itu ke 30 peratus melalui usaha mengusahakan semula kawasan sawah terbiar,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) di Wisma LYCH, Kota Kinabalu, di sini semalam.
Dalam lawatan itu, Jamawi yang juga Pengerusi LPBS turut mempengerusikan mesyuarat bersama warga kerja dan membincangkan pelbagai agenda berkaitan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan kakitangan serta mengingatkan bahawa budaya kerja yang saling melengkapi lebih penting berbanding persaingan dalaman.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Dzulkernain Awang Hassan dan Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr Ramle Kasin.
