180 PTI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

LAHAD DATU : Seramai 180 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Bongao Filipina, di sini kelmarin.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof dalam satu kenyataan berkata, pemindahan tahanan PATI ini dilaksanakan dari depot Imigresen Sandakan.

Katanya, jumlah ini membabitkan 84 lelaki, 61 wanita, 15 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan berumur 1 hingga 65 tahun.

“Kesemua tahanan telah balik ke negara asal dengan program pembiayaan sendiri.

“Kadar pembayaran tiket pengangkutan feri dan laut yang dikenakan adalah RM375.00 bagi penumpang dewasa, RM210.00 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 13 tahun dan percuma untuk kanak-kanak bawah 4 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sh Sitti Saleha berkata, kesemua PATI dipindahkan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.