KOTA KINABALU: Seramai 17 Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian bersama Muhammad Affan Jumahat mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.
Affan merupakan Timbalan Badan Perhubungan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata keputusan tersebut dibuat secara bersama selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.
Menurutnya, langkah berkenaan merupakan keputusan kolektif yang dibuat secara baik tanpa sebarang pengaruh daripada mana-mana pihak.
“Kami membuat keputusan ini secara bersama setelah mempertimbangkan pelbagai aspek yang berkaitan.
“Ia merupakan keputusan kolektif yang dibuat secara baik dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau merupakan Ketua Bahagian BERSATU Kudat turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan dan ahli parti atas segala kerjasama serta pengalaman sepanjang penglibatan mereka dalam Bersatu.
