KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah bersama kerajaan Persekutuan terus memperkukuh usaha membantu mahasiswa Sabah di perantauan melalui pelbagai bantuan subsidi perjalanan udara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif seperti GRS/SUBFLY, SENTOSA dan FLYSISWA membuktikan komitmen kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup pelajar.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Sabah di Semenanjung Malaysia yang menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa dari 31 IPT.
Menurutnya, program tersebut menjadi platform penting bagi kerajaan mendengar secara langsung pandangan dan keperluan pelajar Sabah.
“Antara hasil interaksi bersama mahasiswa ialah pengenalan bantuan GRS/SUBFLY pada tahun 2024 yang memberi subsidi tiket penerbangan RM600 kepada pelajar Sabah,” katanya.
Bagi tahun 2025, seramai 19,505 pelajar menerima manfaat program itu dengan peruntukan RM11.7 juta.
Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif SENTOSA dengan bantuan RM300 kepada pelajar IPT dalam Sabah untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.
