KOTA KINABALU : Lebih 1,500 pengunjung hadir menghadiri sambutan ‘Raya! Rayakan Alumni’ anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) diadakan di Dataran Dewan Canselor, baru-baru ini.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, sambutan tersebut bertujuan mewujudkan semangat kekeluargaan selain mampu mengukuhkan perpaduan sesama alumni UMS.
Katanya, ia juga memberi peluang kepada alumni untuk merapatkan silaturahim sambil menikmati pelbagai juadah yang disediakan.
“Di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan, seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara alumni, bakal alumni dan alma mater.
“Pusat Alumni UMS diberikan mandat oleh pihak pengurusan universiti untuk menghubungkan kerjasama yang baik bersama alumni dan pemegang taruh serta sentiasa mengatur program bagi mewujudkan sinergi yang baik antara kedua-dua belah pihak.
“Adalah diharapkan agar para alumni akan dapat menyumbang kembali ke arah kecemerlangan UMS yang dicintai,” katanya.
Teksnya dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.
Katanya, sambutan tersebut menampilkan kelainan dengan konsep terbuka iaitu dengan penglibatan bakal alumni serta rakan strategik Pusat Alumni UMS.
“Majlis dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Alumni UMS dan Alumni Chapter Fakulti/Akademik dihadiri oleh lebih 1,500 orang yang terdiri daripada kakitangan, alumni dan bakal alumni UMS.
“Pusat Alumni UMS turut mengagihkan sumbangan duit raya kepada 25 orang penghuni Rumah Anak Kesayangan Sabah sempena sambutan ini,” jelas Kasim.