KOTA KINABALU: MYNIC Berhad (MYNIC) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah telah menganjurkan Seminar Pendigitalan Koperasi kepada lebih 100 ahli koperasi di bawah SKM di Kota Kinabalu dan Tawau, baru-baru ini.
Seminar yang berlangsung selama sehari itu merupakan salah satu inisiatif MYNIC untuk memperkasa usahawan dikalangan ahli koperasi dalam meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka dari ‘offline’ ke ‘online’.
MYNIC merupakan agensi teknikal yang mengurus, mentadbir, mempromosi dan mengembangkan penggunaan nama domain .MY di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Pada November 2022, MYNIC menerusi perjanjian persefahaman (MoU) bersama SKM telah memperkenalkan domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada koperasi yang berdaftar dengan SKM seluruh negara.
MYNIC, sebagai rakan strategik dalam penyelenggaraan seminar ini, telah menyediakan pelbagai latihan termasuk Latihan Pembangunan Premis Digital yang bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta dalam menerajui cabaran pendigitalan perniagaan.
Menurut MYNIC Berhad menerusi satu kenyataan salah satu pengisian utama seminar ini adalah Pocket Talk yang bertujuan untuk memberi pendedahan yang komprehensif mengenai kepentingan penggunaan salah satu aset digital negara iaitu, nama domain COOP.MY.
Tambah kenyataan itu, peserta turut didedahkan dengan strategi pendigitalan yang efektif sejajar dengan aspirasi cabang ekonomi Malaysia MADANI.
Para peserta juga ditekankan mengenai keterjaminan dan keselamatan dalam membina laman sesawang menggunakan COOP.MY. MYNIC akan memastikan pengesahan maklumat pendaftar yang sahih dan tulen sebelum meneruskan proses pendaftaran.
Langkah ini dapat mengurangkan risiko penipuan dan penyalahgunaan nama domain .MY.
Tambahan lagi, proses ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna serta membina profesionalisme kepada pemilik domain tersebut.
Selain dari Sabah, MYNIC juga telah mengadakan sesi latihan yang sama kepada usahawan koperasi di Melaka, Terengganu, Kedah dan juga Kuching, Sarawak sepanjang tahun 2023 ini.
MYNIC berharap untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya sebagai salah satu pembolehupaya di dalam ekosistem ekonomi digital dapat membantu usahawan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk mengembangkan jenama produk mereka dari Malaysia melangkau ke peringkat antarabangsa.