TENOM: Datuk Yong Oi Kiong mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkuat kuasa dari tarikh surat peletakan jawatan dikemukakan.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti, khususnya bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada tanggungjawab lain termasuk pengurusan persatuan dan urusan perniagaan yang memerlukan komitmen sepenuh masa.
Selain faktor komitmen, Yong menjelaskan usia dan tahap keupayaan fizikal turut menjadi antara sebab utama peletakan jawatan itu. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan ahli KDM serta mendoakan kejayaan parti pada masa hadapan.
