KOTA KINABALU: KPJ Sabah Specialist Hospital mencipta sejarah apabila menjadi hospital swasta pertama di Sabah yang berjaya melaksanakan prosedur awake craniotomy, satu teknik pembedahan saraf khusus yang memerlukan pesakit berada dalam keadaan sedar sepanjang pembedahan.
Prosedur yang dikenali sebagai Right Awake Craniotomy and Debulking of Tumour itu dilaksanakan pada 5 Januari dan mengambil masa kira-kira dua jam. Ia diketuai oleh Pakar Bedah Saraf, Dr Ananda Arumugam dengan sokongan Pakar Anestesiologi, Rawatan Kritikal dan Pengurusan Kesakitan, Dr Aldred Soo serta pasukan pembedahan pelbagai disiplin hospital berkenaan.
Dalam prosedur tersebut, seorang pesakit wanita berusia 39 tahun kekal sedar sepenuhnya dan mampu berkomunikasi dengan pasukan perubatan sepanjang pembedahan, termasuk menyanyikan lagu Twinkle Twinkle Little Star serta mengenal pasti imej yang dipaparkan melalui peranti iPad.
Awake craniotomy lazimnya digunakan apabila ketumbuhan otak terletak berhampiran kawasan kritikal yang mengawal pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif. Teknik ini membolehkan pakar bedah memantau fungsi neurologi pesakit secara langsung bagi mengurangkan risiko kerosakan kekal pada bahagian otak penting.
Menurut Dr Ananda, interaksi pesakit sepanjang prosedur memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan serta keberkesanan rawatan, khususnya dalam usaha memelihara fungsi neurologi semasa pembuangan ketumbuhan dilakukan.
Pencapaian itu sekali gus mencerminkan peningkatan keupayaan rawatan pembedahan saraf di sektor swasta di Sabah, selain mengukuhkan peranan KPJ Sabah Specialist Hospital sebagai pusat rawatan tertiari di negeri berkenaan.
